Sabtu, 12 Mei 2012

Teks Ucapan Perasmian Minggu Kemanusiaan


TEKS UCAPAN MINGGU KEMANUSIAAN
SMK CHERAS JAYA
TAHUN 2012

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum w.b.t.
Terima kasih puan pengerusi majlis,
Yang berusaha,
Puan Sofia Nor Binti Molhit                         -           Penolong Kanan SMK Cheras Jaya
En. Othman Bin Omar                                  -           PK (Hal Ehwal Murid)
Puan Anita Mazlina Bt. Azman Arash         -           PK (Kokurikulum)
En. Azhari Bin Mohd Yusop                         -           PK (Pend. Khas)
Barisan Guru Kanan Mata Pelajaran         
Guru-guru Cemerlang,
Guru-guru dan para pelajar yang dikasihi sekalian.

Alhamdulillah, marilah kita panjatkan setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat Ilahi atas limpahan rahmat dan kurnia-Nya maka kita dapat bernafas dan menghirup udara segar pada pagi yang mulia ini. Jika minggu yang lalu kita sama-sama menyaksikan pelancaran Minggu Teknik dan Vokasional dan penutupan Minggu Bahasa, maka pada pagi ini Bidang Kemanusiaan pula mengambil tempatnya.
Pelajar-pelajar yang dikasihi sekalian,
Tema yang dipilih bagi Minggu Kemanusiaan ialah Perpaduan Menjana Kecemerlangan. Mengapakah perpaduan itu amat dititikberatkan, terutamanya di sekolah kita ini? Tidak lain dan tidak bukan ialah kerana negara ini sendiri merupakan negara yang berbilang kaum dan setiap kaum memainkan peranan yang penting untuk membangunkan negara. Di sekolah ini sendiri, anda dapat saksikan pelbagai kaum iaitu kaum Melayu, Cina, India, Indonesia, Thai dan segelintir kaum minoriti dari Sabah dan Sarawak menjadi warga sekolah. Semuanya duduk di bawah satu bumbung dan mendapat bimbingan dan tunjuk ajar dari guru yang sama. Inilah yang menjadi satu keunikan yang perlu kita hargai. Jadi, perpaduan amatlah penting bagi menjayakan hasrat untuk mencapai visi dan misi sekolah.
Pelajar-pelajar sekalian,
Sukalah saya mengingatkan semua agar terus memelihara perpaduan kaum di negara ini. Isu-isu pergaduhan, perbalahan dan hina-menghina dan memperkecilkan kaum yang lain hendaklah kita jauhkan sama sekali walaupun bersifat bibit-bibit kecil kerana jika dibiarkan akan menjadi merebak dan tidak terkawal. Cukuplah dengan tragedi berdarah 13 Mei 1969 yang menyaksikan negara menjadi huru-hara akibat permusuhan antara kaum. Akibatnya, kerajaan telah mengisytiharkan darurat dan rakyat hidup dalam ketakutan. Kerajaan telah melaksanakan pelbagai dasar dalam sistem pendidikan di negara kita dalam usaha untuk menjamin kecemerlangan institusi pendidikan negara. Antara program yang diperkenalkan ialah Program RIMUP atau Rancangan Intergrasi Murid Untuk Perpaduan. Melalui program RIMUP, pelajar-pelajar diterapkan dengan nilai patriotisme, menghayati prinsip Rukun Negara, mengenali bendera negara dan jata negara, dan juga mengenali dan berbangga dengan lencana dan lagu sekolah.
Guru-guru dan pelajar yang dikasihi sekalian,
Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia jelas sekali amat menekankan aspek perpaduan kaum kerana kita menyedari bahawa perpaduan amat penting untuk menentukan kejayaan negara. Musuh-musuh negara sentiasa mengintai kelemahan jentera pentadbiran negara, dan sekiranya kita bersatu padu maka negara akan bertambah teguh. Demikian juga dengan perpaduan di sekolah kita. Jika kita bekerjasama, bersatu padu dan berusaha menggembeleng seluruh tenaga dan kemahiran yang ada maka kecemerlangan akan menjelma juga.
Usaha untuk mengekalkan perpaduan harus dilakukan secara berterusan dan tidak bersifat hangat-hangat tahi ayam. Amat sukar untuk mengukuhkan perpaduan kerana rambut sama hitam, hati lain-lain. Melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan oleh pihak sekolah sama ada aktiviti akademik mahupun kokurikulum, kita dapat mengeratkan hubungan dengan bergaul mesra, saling mengenali dan memahami dan sentiasa bersaing untuk mencapai kecemerlangan. Saya amat berharap agar seluruh warga sekolah sentiasa berusaha untuk mengekalkan perpaduan kerana permusuhan seumpama virus yang boleh memusnahkan jentera pentadbiran sekolah dan seterusnya boleh memusnahkan negara. Lebih parah lagi, hasrat kita untuk mencapai kecemerlangan akan terbantut.
Rebutlah peluang melalui Minggu Kemanusiaan ini untuk menyertai pelbagai aktiviti yang telah direncanakan oleh pihak sekolah. Kecemerlangan bukan semestinya terletak pada catatan markah yang tertera pada keputusan peperiksaan, sebaliknya   menjadi cemerlang ialah menjadi manusia yang penuh dengan sifat-sifat kemanusiaan, taat kepada perintah Tuhan, tahu menghargai kehidupan, menghormati orang lain dan mampu berdikari. Jadi, tidak syak lagi bahawa usaha untuk mengukuhkan perpaduan ini merupakan usaha murni untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam menjadi seorang insan. Hayatilah rangkap pantun ini.
  
Anak dara menggoreng keladi,
Di bawah teduhan berbumbung limas,
Sekolah umpama seberkas lidi,
Tali perpaduan terikat kemas.

Petik setangkai bunga melati,
Bunga melati kembang setaman,
Jikalau semuanya bersatu hati,
Cemerlang pasti dalam genggaman.

Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan Minggu Kemanusiaan bagi tahun 2012.     Sekian terima kasih.

3 ulasan:

  1. nak tanya ade x skema jawapan untuk soalan kesusasteraan melayu 2011 yang cg buat tu?

    BalasPadam
  2. Ada, memang lengkap. Nak ke? Insya-Allah akan dimasukkan.

    BalasPadam
  3. tima kasih di atas skrip cikgu

    BalasPadam