AKU, MEREKA DAN DEKON

          Entri ini kutulis sebagai penghargaan buat anak-anak muridku Syafiq, Shah Irwan, Asyira, Hafiz dan Ikmal tidak lupa kepada Elyani kerana ini satu pengalaman berharga yang tidak ternilai bandingannya. Apabila menyebut tentang Dekon, ramai yang tidak pernah mendengarnya, namun dalam kalangan penggiat seni persembahan dan bahasa lebih mengenali puisidra (puisi dan drama), taripudra (tarian, puisi dan drama). Dekon merupakan singkatan deklamasi dan lakonan, hal ini bermakna dekon melibatkan penyampaian deklamasi sajak dan dendangan puisi yang dilatari oleh lakonan yang memaknakan persembahan.


         Apabila SMK Cheras Perdana menganjurkan bengkel dekon ini dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, setiap sekolah dikehendaki menghantar wakil seramai dua orang untuk mempelajari tentang dekon. Melihat senarai nama calon yang dipilih oleh Ketua Panitia, aku lantas mengambil keputusan untuk menggantikannya dengan murid yang lebih berkebolehan dan berani menonjol di khalayak, tidak lain dan tidak bukan Muhamad Syafiqri (sangat popular sejak kecil, seorang artis kanak-kanak) dan Danish Hisham yang tidak asing lagi di sekolah kami.


          12 April dijadualkan pertandingan, mulalah aku memanggil Syafiq, Shah, Ikmal, Syira dan Hafiz untuk merancang dan memilih puisi yang sesuai. Keputusan dicapai, kami memilih puisi Pesan Lelaki Kecil Kepada Gadis Kampus dan Syair Wasiat Ayahanda Siti Zawiyah. Bermula pada hari itu, Shah kulantik menjadi ketua dan mereka kulepaskan untuk merancang persembahan sendiri. Aku, cikgu Azura, Cikgu Sukartini, Cikgu Roslina serta cikgu Aisya bergilir-gilir membantu memantau latihan mereka. Sifat keanak-anakan mereka masih jelas, mereka berlatih sambil bermain dan bergurau senda sehinggakan masa lebih banyak dihabiskan dengan bermain. Semakin lama, latihan semakin mantap sehingga kami menaruh keyakinan untuk menang.

     
 Hafiz memegang watak seorang ayah yang akan menghantar anak perempuannya ke kampus.

    Aku positif dengan kebolehan mereka, pengorbanan masa dan wang ringgit tidak dipertikaikan lagi. Sahabat sekerja menghulurkan bantuan. Cikgu Sandera meminjamkan peralatan doktor, manakala cikgu Aisya bersedia untuk menjadi guru pengiring. Cikgu Shamsuzana pula meminjamkan aksesori untuk Syafiq, wah kacak sekali Syafiq lengkap berkeris, bengkung, tanjak dan perhiasan pahlawannya. Malang sekali, pada tarikh yang sama cikgu Aisya dikehendaki atas urusan lain. Peluang ini kuambil menjadi pengiring mereka ke DBP memandangkan aku pernah beberapa kali ke sana dan mahir dengan jalan ke Kuala Lumpur. Elyani kubawa dengan kereta, manakala yang lain menaiki bas yang disediakan.



Elyani bertindak bukan sahaja sebagai pengurus audio, malah sebagai jurumekap. Tak apalah asalkan nampak tua. Kami duduk di belakang kerana giliran hampir tiba. Kubawa juga kerusi roda milik mentuaku, itu sahaja prop yang dibawa. Melihatkan sekolah lain ada yang membawa ranting, papan tanda, cuak juga ada. Itu aku, bagaimana dengan murid-muridku lebih-lebih lagi Syafiq sebagai deklamator dan penyampai syair. Dia perlu daya hafalan yang kuat.


       Persaingan bermula, pasukan sekolahku mendapat giliran kedua daripada 13 buah sekolah yang bertanding. Di 2 bilik lagi berlangsung pertandingan yang sama yang akan memilih hanya satu sekolah untuk ke peringkat akhir. Apabila selesai pertandingan, datang seorang guru dari SMK Pandan Indah.
     "Sedapnya suara, dahlah hensem," katanya.
     "Hehe, maklumlah artis," Aku tersenyum.
     "Boleh buat menantu?" Guraunya.
     "Tidak boleh, sudah ada yang booking" Aku menambah.
     "Saya suka dengan persembahan Cheras Jaya, lain dari yang lain, masuk sahaja,"
     "Yaka, Alhamdulillah."
Kami menanti penuh sabar. Kesempatan itu kuambil dengan berkunjung ke Kedai Buku dengan ditemani oleh Syafiq. Aku merancang untuk membeli cenderamata sebelum pulang.

    Seperti yang diduga, sekolahku terpilih untuk memasuki pusingan akhir bersama-sama SMK Desa Serdang dan SMK Abdul Jalil yang menjuari kumpulan masing-masing. Persembahan kali kedua ini lebih mantap. Syafiq tidak lagi lupa lirik seperti pusingan pertama. Lakonan Syah sebagai Iblis dan doktor menjadi. Syira sebagai anak gadis kampus sangat berkesan. Hafiz pula berjaya memikul watak sebagai seorang ayah dan saudagar. Ikmal sebagai watak putih dan adik juga santai dan berjaya membawa penonton dengan kisah yang kami garapkan. Kami langsung tidak menduga akan membolot hampir semua hadiah yang disediakan. Apabila nama pemenang diumumkan, kami terkejut kerana kemenangan kami sangat tidak terduga.


Ni masa masing-masing cuak menunggu keputusan juri. Duduk belakang sekali dekat pintu, bukannya apa semua tempat dah penuh. Makanan kukongsi dengan Elyani kerana dia kubawa secara tidak rasmi membantu di sebalik tabir.



    Dari kaca mataku, aku melihat kelebihan pasukan kami lebih seimbang kerana kelima-lima peserta memainkan peranan dengan berkesan. Kemerduan syair dendangan Syafiq dengan irama narasi tidak disangkal lagi walaupun Syafiq tidak menggunakan mikrofon. Keseluruhan persembahan kami lebih menyampaikan mesej yang jelas di samping gabungan sajak dan syair yang mantap. Aku sendiri yang menghasilkan brosur ringkas dan berwarna-warni untuk diserahkan kepada juri.



    Syafiq dinobatkan sebagai penyampaian syair terbaik, kemudian sekolahku dipanggil lagi naik ke pentas untuk apa tak pasti. Mungkin persembahan terbaik. Keseluruhannya kami muncul sebagai johan. Aku sangat gembira kerana segala usaha selama ini berbaloi-baloi. Tahniah anak-anak murid kesayanganku. Semakin lama semakin sayang aku kepada mereka malah kulihat hubungan mereka berenam tidak ubah seperti adik-beradik. Kadang-kadang mereka belajar bersama-sama di luar, dan pastinya aku memantau pergerakan mereka dari jauh, maklumlah aku 'ibu' mereka!

Gambar kiriman cikgu Azura, Ketua Panitia Bahasa Melayu ketika aku bertugas di luar kawasan..Pengetua dan PK juga tidak ada di sekolah. Cikgu Mahiran mengiringi Puan Sorah (PK HEM) untuk menyampaikan hadiah.

     Penyampaian hadiah dibuat di sekolah tatkala aku tiada, tidak apa. Gambar kenangan kutatap erat kiriman sahabat. Mereka juga dikehendaki mempersembahkan semula dekon sempena penutupan Bulan Akademik. Mudahlah tugas AJK Persembahan yang tidak perlu lagi melatih pelajar untuk itu.
Kini kenangan itu telah berlalu, kuhimpunkan pula sekian murid lagi untuk pertandingan drama Komsas tidak lama lagi. Kedatangan Amer Khusyairi bekas muridku umpama orang mengantuk disorongkan bantal. Amer menawarkan diri untuk menjadi jurulatih dan kini dia umpama abang kepada 15 orang peserta drama komsas.

     Mereka membahagikan hadiah berupa hamper yang dimenangi sebagai johan dan penulisan skrip terbaik (hanya diketahui setelah mendapat sijil) Disebabkan teruja, kami tidak tahu kategori apakah yang dimenangi, tahu-tahu nama sekolah dipanggil untuk naik pentas.

   
Meraikan hari lahir Syira. Petang itu juga mereka dikehendaki membuat persembahan sempena Penutupan Bulan Akademik. 



Di belakang pentas sekolah semasa persembahan semula sempena Bulan Akademik. Paginya berlaku kelewatan akibat gangguan teknikal. Syukur semuanya dapat diatasi dengan baik.



     26 Mei, hari terakhir persekolahan. Hari itu sebenarnya merupakan tarikh ulang tahun pemergian bondaku yang tercinta. 6 tahun yang berlalu seakan-akan semalam sahaja bonda pergi. Aku kurang ceria. Aku amat sibuk dengan pelbagai tugas Guru Kanan, ditambah lagi dengan janjiku untuk menyiapkan semua pemeriksaan kertas jawapan PPT dan penyediaan skrip forum remaja lagi. Seperti biasa aku balik tengah hari untuk menghantar anak ke masjid. Usai solat, Asyira mengirim pesanan bahawa dia sakit dan memerlukan minyak. Dia belum makan, lantas aku membelikan makanan untuk mengalas perutnya. Setibanya ke Anjung, tiba-tiba penuh dengan murid-murid dekon kecuali Ikmal yang telah balik ke Siam. Mereka menyanyikan lagu "Selamat Hari Guru"
Ya Allah, aku sangat terkejut, terharu dan gembira. Rupa-rupanya Syira tidak sakit sebaliknya dia berdrama kerana mereka tahu seandainya salah seorang daripada mereka sakit, akulah yang paling risau dan segera bertindak.




        Tulisan anak didikku sempena Hari Guru yang teristimewa...rupa-rupanya dalam diam mereka merancang untuk membuat kejutan kepadaku. Mesti idea Shah Irwan. Perkataan SEJAAH tu memang tak ada dalam Kamus Dewan, janganlah nak cari, Kamus Iban atau Kamus Indonesia pun tak ada. Istilah itu mula-mula disebut oleh Amer Khusyairi yang maksudnya lebih kurang sedikit atau ciput barang kali (teka). Kemudian terus disebut sehingga sekarang.


    "Cikgu, ni untuk cikgu dari kami geng sejaah," Asyira bersuara. Amer pun ada rupanya. Terus kusembunyikan sebakku yang tak terhingga sambil memotong kek. 
     "Mengapa tak ajak cikgu Azura, cikgu Mahiran sekali?"
     "Mereka dah balik!"
     "Syafiq, awak kan nak ke Seremban?"
     "Mereka tak bagi saya balik dulu," Syafiq kutahu mempunyai urusan dengan kumpulan nasyid Akhdan yang dianggotainya. Segera kuajak murid-murid drama untuk turut serta kerana mereka sudah seperti keluarga. Ada yang kecil ada yang besar. Sungguh meriah.

                             




Jika diperhatikan dalam media sosial, ramai yang membuat tanda sebegini, itulah budaya Korea yang ditiru untuk menunjukkan love,  ikut saja gelagat mereka selagi tidak bertentangan dengan agama.




Dikelilingi anak-anak ceria lagi menceriakan....



     Terima kasih anak-anak didik kesayanganku, akan kusimpan kemas pemberianmu dan kenangan yang tercipta bersama-sama. Kita pasang angan-angan tinggi untuk menggapai mimpi yang hampir pasti. Selagi aku ada, aku akan pastikan kalian di puncak jaya.






Bingkai gambar yang mengabadikan kenangan bersama-sama geng Dekon termasuk persembahan akhir di DBP, Jalan-jalan Cari Makan di IOI dan penyampaian hadiah. 


Sijil penghargaan daripada DBP kepada Guru Pembimbing kini telah tercatat namaku kekal di situ. Inilah kenangan paling berharga buatku, seorang pencinta bahasa, seni dan sastera.









Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PANTUN UNTUK PUAN ZAKIAH SEMPENA PERSARAAN BELIAU

Teks Ucapan Perasmian Minggu Kemanusiaan