Selamat datang 2017

Tahun 2017 sudah menjengah, namun blog ini semakin usang. Disebabkan banyak sekali perkara menarik yang tercatat dalam sejarahku maka kuteruskan membuat catatan di sini. Pertama, sekolahku sudah mempunyai bumbung Lindungan Suria maka banyak aktiviti boleh dijalankan walaupun keadaan panas dan kurang selesa. Kedua, aku sekali lagi dilantik menganggotai AJK PIBG setelah sekian lama direhatkan namun kali ini sebagai wakil GKMP. Ketiga, tahun ini keputusan SPM diumumkan sebagai terbaik sepanjang aku berkhidmat di sini....syukur Alhamdulillah, memegang 3 kelas tingkatan 5 memang memenatkan, namun aku percaya jika ada kegigihan pasti akan beroleh kejayaan.

Dari sudut yang lain pula, pelantikan sebagai Pegawai Teknikal Unit koakademik Bahasa Melayu sangat mengujakan. Maklumlah, aku gemar memerhati dan melihat bakat dan potensi anak-anak didik untuk diketengahkan. Berjumpalah aku dengan anak-anak didik berbakat besar dalam arena pidato kutemui Nur Fathiah, dalam melagunya syair kutemui Syafiq (berbakat sejak bayi barangkali),
dalam bidang drama pula kutemui Shah Irwan, Asyira, Ikmal, Hafiz, manakala dalam forum kukesan bakat Irdina, Izuan, Farisya dan beberapa orang murid yang memang tidak patut diabaikan.

Aku yakin dan percaya tahun ini bakal memberi sinar buat kami apatah lagi bidang bahasa dianggotai oleh ramai guru berkemahiran tinggi baik Bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris. Aku juga kekal dan nekad mengajarkan Kesusasteraan Melayu walaupun bilangan calon hanya Syafiq seorang. Aku tahu, mata pelajaran ini sangat bernilai bagi mendidik anak-anak menjadi lebih bersifat manusia di samping kaya seni bahasa dan memaknakan dunia seni mereka.

2017 hadirmu memberi sinar buatku.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PANTUN UNTUK PUAN ZAKIAH SEMPENA PERSARAAN BELIAU

PANTUN AYUH MEMBACA

PANTUN BAHASA MELAYU