Nota Pelajaran

Sinopsis Hikayat Cendawan Putih


HIKAYAT CENDAWAN PUTIH

SINOPSIS

Raja Indera Kemala Putera gering setelah berperang dengan musuh. Raden Kesuma Wati menangis mengenangkan nasib ayahandanya. Menurut nujum, penyakit baginda itu hanya dapat disembuhkan setelah mendapat telur merpati putih yang bersarang di telinga naga di atas Gunung Meraksa Dewa. Raden Kesuma Wati menyuruh orang mencari telur itu namun tidak berjaya.



Raja Shah Dewa Alam di Melaka Pura pula mempunyai seorang puteri yang bernama Puteri Pelinggam Cahaya. Pada suatu malam, puteri bermimpi makan telur merpati putih. Baginda pun menyuruh orang-orangnya mencari telur tersebut. Malamnya baginda bermimpi didatangi oleh seorang nenek tua yang memberitahu tentang tempat telur itu berada. Puteri terbangun daripada tidur dan memerintahkan Mangkubumi mencari telur tersebut. Mangkubumi memerintahkan seluruh rakyat mencarinya tetapi tidak berjumpa.



Mereka telah kembali ke istana dan mengkhabarkan bahawa telur itu gagal ditemui. Puteri Pelinggam Cahaya begitu sedih dan berazam untuk mencari telur itu sendiri. Sepanjang pemergiannya baginda memerintahkan Mangkubumi menjaga ayahandanya. Baginda membawa sebahagian daripada rakyatnya. Sepanjang perjalanannya, ramai yang mati kelaparan dan kesakitan akibat perjalanan yang jauh. Puteri memerintahkan rakyat yang mengikutnya itu kembali sahaja ke negeri sedangkan dia sendiri yang akan meneruskan perjalanan seorang diri.



Tuan Puteri meneruskan perjalanannya, tiba-tiba dia ternampak sebatang pohon beringin. Di situ dia terlihat seorang pahlawan sedang tidur di atas batu lengkap dengan keris dan seekor kuda yang menunggu. Tuan Puteri mencabut keris dan membunuh hulubalang itu. Pakaiannya diambil dan dipakai lantas Puteri Pelinggam Cahaya meneruskan perjalanan dengan menunggang kuda yang dirampas itu.



Setelah empat hari empat malam, akhirnya Tuan Puteri sampai ke sebuah negeri iaitu Kesambi Pura. Menteri menegurnya dan dia memperkenalkan diri sebagai Bangbang Gajah Merta dari negeri Melaka Pura. Dia menyatakan tujuannya untuk mencari telur burung merpati putih. Menteri pun mempersembahkan hal itu kepada raja. Raja memerintahkan Bangbang Gajah Merta tinggal di situ sementara waktu.



Suatu hari, raja memerintahkan rakyatnya mengeluarkan sebiji buah limau nipis yang dimasukkan ke dalam lubang yang sempit tanpa menggunakan bilah atau kayu melainkan menggunakan tiga jari sahaja. Barang siapa yang berjaya akan dikahwinkan dengan anakanda baginda, iaitu Puteri Ratna Melur. Sekalian rakyat mencuba nasib tetapi tidak berjaya keran mereka dilarang memasukkan tangan ke dalam lubang tanah itu. Gajah Merta mencuba nasibnya dengan menuang kendi berisi air. Apabila limau itu timbul, dia mengambilnya dengan mudah. Sebagai memenuhi janji, Gajah Merta dinikahkan dengan anakanda baginda. Puteri Ratna Melur mencurigai suaminya yang bersikap seperti perempuan. Bambang Gajah Merta memohon izin baginda untuk meneruskan perjalanannya mencari telur burung itu.



Bangbang Gajah Merta meneruskan perjalanannya sehingga sampai ke sebuah gunung. Bangbang Gajah Merta pun mendaki gunung itu. Dia terjumpa dengan seekor singa yang besar dan di sisinya terdapat seekor landak hitam dan seekor landak putih. Singa itu menegurnya dan meminta agar tidak takut. Tuan Puteri Pelinggam Cahaya (Bangbang Gajah Merta) pun memperkenalkan diri dan menyatakan tujuannya iaitu mencari telur merpati putih. Singa itu berkata, dia akan memperoleh juga telur itu dengan berkat Raden Kesuma Ningrat. Tuan Puteri hairan kerana dia tidak mengenali Raden Kesuma Ningrat. Singa itu memintanya tinggal di situ sepuluh hari kerana orang yang dapat mengambil telur itu hanyalah Raden Kesuma Ningrat anak Raja Kemala Putera. Singa itu menyuruh dia menunggu kedatangan Raden Kesuma Ningrat untuk bersama-sama pergi mengambil telur itu. Tuan Puteri Pelinggam Cahaya menyalin pakaian perempuan dan duduk menanti kedatangan Raden Kesuma Ningrat di dalam telinga singa itu.



Raden Kesuma Wati yang sudah memerintahkan orang-orangnya mencari telur burung merpati itu kecewa kerana mereka masih gagal mendapatkannya. Dia memberitahu mangkubumi bahawa dia ingin mencari telur itu sendiri. Setelah dua puluh hari perjalanan dalam keletihan dia sampai ke negeri Indera Buangan. Dia memasuki negeri itu dan terlihat sebuah gerai yang menjual pelbagai juadah yang tidak ditunggu orang kerana pemiliknya pergi ke sungai mengambil air ketika itu. Disebabkan kelaparan, dia pun makan juadah yang ada di kedai itu dengan lahap sekali. Setelah pemiliknya sampai, Raden Kesuma Wati ditangkap dan diikat tangannya. Pemilik kedai itu membawanya bertemu Raden Kesuma Ningrat untuk mengadukan hal itu. Pemilik kedai itu mendakwa Raden Kesuma Wati mencuri jualannya, sedangkan dia sendiri mendapat upah menjual juadah kepunyaan orang lain.



Raden Kesuma Wati menyatakan bahawa dia tidak berniat untuk mencuri juadah tersebut, namun dia terlalu lapar. Raden Kesuma Wati menyatakan bahawa datang dari negeri Indera Kemala Putera, dia sudah tidak makan empat puluh hari. Setelah melihat kedai makanan yang tidak ada penjual, dia duduk menanti. Sagun yang menjadi bekalnya juga telah hilang. Dia bersedia menerima hukuman daripada Raden Kesuma Ningrat. Raden Kesuma Wati bertanya jumlah kerugiannya dan menyuruh pemilik kedai itu pulang. Dia bersedia menggantikan kerugiannya sebanyak sepuluh sen itu. Raden Kesuma Wati dihukum menjaga kambing. Pemilik kedai itu dibayar dua puluh sen atas kerugiannya.



Setelah beberapa lama duduk memelihara kambing di negeri Indera Buangan, Raden Kesuma Wati terlihat burung bayan dan merbah putih yang asyik berpantun seolah-olah sedang menyindirnya. Dia turut berpantun dan terkenangkan nasib malangnya. Sedang ia memandikan kambing, dia ditegur oleh Tuan Puteri Indera Maya, bonda Raden Kesuma Ningrat. Dia menceritakan asal usulnya dan tujuan perjalanannya itu untuk mencari penawar bagi penyakit ayahandanya. Tuan Puteri Indera Maya memberitahu Tuan Puteri Kesuma Ningrat bahawa, sebenarnya Raden Kesuma Wati ialah saudaranya, anak isteri pertama ayahandanya. Raden Kesuma Ningrat memohon ampun kepada bondanya kerana telah menghukum saudaranya sendiri. Raden Kesuma Ningrat mengatakan bahawa telur yang dicarinya itu sukar didapati. Raden Kesuma Wati berharap agak adindanya itu dapat membantunya.



Raden Kesuma Ningrat tersenyum dan meminta agar Raden Kesuma Wati tidak terlalu mengharapkannya. Dia menyuruh kakandanya itu tinggal di situ tiga lagi. Setelah genap tiga hari, mereka meneruskan perjalanan dengan diringi burung merbah putih. Apabila sampai di tengah hutan, mereka begitu dahaya kerana air tidak dijumpai. Burung merbah itu mematuk puncak dahan pohon beringin sehingga keluar air yang mencurah-curah. Perjalanan diteruskan, mereka berjumpa pula dengan harimau dan raksasa. Raden Kesuma Wati gementar dan berlindung di belakang adindanya. Raden Kesuma Ningrat menyuruh harimau dan raksasa itu berundur kerana saudaranya takut melihat mereka. Kata harimau dan raksasa, dia tidak perlu takut kerana haiwan itu akan turut mengiring mereka mencari telur merpati putih.



Setelah itu mereka pun sampai ke gunung itu. Raden Kesuma Ningrat meminta kakandanya tunggu di kaki gunung sementara dia mendaki gunung itu. Apabila tiba di puncak gunung, kelihatan Tuan Puteri Pelinggam Cahaya yang amat cantik sedang menunggu. Tuan Puteri Pelinggam Cahaya tunduk malu melihat Raden Kesuma Ningrat. Raden Kesuma Ningrat bertanya Tuan Puteri Pelinggam Cahaya asal usulnya. Singa yang menemaninya pun menceritakan asal usul dan tujuannya berada di atas gunung itu. Tuan Puteri Pelinggam Cahaya menangis apabila singa itu bercerita. Singa itu juga memberitahu bahawa pemuda yang datang itu merupakan Raden Kesuma Ningrat anak Raja Indera Kemala Putera.



Raden Kesuma Ningrat terasa dicabar kerana perempuan seperti Tuan Puteri Pelinggam Cahaya sanggup mencari telur itu, inikan pula mereka yang lelaki. Dia berazam untuk membantu Tuan Puteri Pelinggam Cahaya mencari telur bersama-sama. Mereka berjalan beriringan dan turun dari gunung itu. Raden Kesuma Wati hairan melihat kakandanya diiring seorang perempuan cantik. Dia jatuh cinta melihat paras cantik Tuan Puteri Pelinggam Cahaya. Apabila malam, Tuan Puteri mengeluarkan cembul yang diberi oleh singa lantas keluarlah makanan yang lazat-lazat. Setelah makan, Tuan Puteri Pelinggam Cahaya beradu di sebelah kanan Raden Kesuma Ningrat, tetapi Raden Kesuma Wati meminta izin untuk tidur di sebelah kanannya kerana konon di tempatnya banyak semut. Landak yang melihat kelakuan Raden Kesuma Wati pun mengaum seperti harimau.



Raden Kesuma Wati amat terkejut mendengar ngauman landak, manakala Tuan Puteri memeluk Raden Kesuma Ningrat kerana amat takut. Menurut Raden Kesuma Ningrat, landak itu mengawal tuan puteri sekiranya ada sesiapa yang ingin berbuat jahat kepadanya. Setelah siang hari mereka meneruskan perjalanannya. Puas Raden Kesuma Ningrat cuba memanjat gunung namun gagal. Dia memuja nama singa, seketika itu juga muncul singa yang amat besar sehingga landak boleh memasuki telinganya. Raden Kesuma Wati ketakutan melihat singa yang amat besar. Mulut singa itu menganga luas sehingga mampu sampai ke puncak gunung Meraksa Dewa manakala yang sebelah bawah mencecah kaki gunung. Raden Kesuma Ningrat meminta kakandanya jangan takut kerana singa itulah yang akan membantu mereka untuk tiba ke puncak gunung. Setelah menaikkan mereka ke puncak gunung, singa itu berpesan kepada landak agar memberitahunya jika hendak turun.



Mereka bertiga pun sampai ke tempat naga lalu naga itu pun menegur Raden Kesuma Ningrat. Raden Kesuma Ningrat pun menyatakan tujuannya. Naga itu menyuruh Raden Kesuma Ningrat mengambi telur yang terdapat di dalam sarang di telinganya. Dia mengambil dua biji telur, satu diberinya kepada Raden Kesuma Wati manakala sebiji lagi diberi kepada Tuan Puteri Pelinggam Cahaya. Raden Kesuma Ningrat memerintahkan landak putih memanggil singa kerana mereka bertiga hendak turun ke kaki gunung. Raden Kesuma Wati mengajak kekanda ke tepi gunung, konon untuk melihat keindahan alam, namun apabila berada di tepi gunung, dia menolak kekanda sehingga jatuh ke laut. Mujur sempat Raden Kesuma Ningrat berpaut pada daun selasih hitam. Raden Kesuma Ningrat pun dibawa arus ke sana sini.



Tuan Puteri Pelinggam Cahaya menangis melihat Raden Kesuma Ningrat telah jatuh ke laut. Raden Kesuma Wati cuba memujuknya dan merayunya, tetapi dia Tuan Puteri Pelinggam Cahaya menasihatinya agar tidak menderhaka kepada adidindanya. Raden Kesuma Ningrat merancang untuk meminta telur merpati putih yang dimiliki oleh Tuan Puteri Pelinggam Cahaya. Jika wanita itu enggan memberi, dia akan merampasnya sahaka. Oleh sebab enggan menyerahkan telur itu, Raden Kesuma Wati menikam Tuan Puteri Pelinggam Cahaya sehingga mati. Telur itu dibawa terbang oleh merbah putih dan dibawa pulang ke negeri Indera Buangan. Raden Kesuma Wati meneruskan perjalanannya dan terjumpa seekor kera yang kemudiannya dijadikan haiwan peliharaan.

Burung merbah putih terserempak dengan landak dan singa gergasi yang dalam perjalanan untuk menjemput Raden Kesuma Ningrat turun daripada gunung. Merbah itu menceritakan segala perbuatan Raden Kesuma Wati terhadap Raden Kesuma Ningrat dan Tuan Puteri Pelinggam Cahaya. Singa menjadi marah dan terus mencari mayat Tuan Puteri Pelinggam Cahaya untuk dibawa pulang.



Merbah putih sampai ke negeri Indera Buangan dan menceritakan perkara yang terjadi ke atas Raden Kesuma Ningrat kepada Tuan Puteri Indera Maya dan Tuan Puteri Ratna Sari. Tuan Puteri Ratna Sari memerintahkan merbah memanggil para hulubalang dan menteri untuk masuk ke istana. Mereka diperintahkan mencari Raden Kesuma Ningrat yang terjatuh di laut pinggir Gunung Meraksa Dewa.



Ada sebuah negeri yang dikenali sebagai Agung Sari yang diperintah oleh Raja Paksi Dewa yang gagah perkasa. Mereka merancang untuk menyerang negeri Indera Buangan kerana khabarnya terdapat dua orang puteri yang cantik. Tuan Puteri Ratna Sari segera menyiapkan kelengkapan untuk berperang dengan tentera yang dipimpin oleh Raja Paksi Dewa. Mereka bertempur dengan sengit. Raja Paksi Dewa mengeluarkan naga berkepala sembilan untuk menelan tuan puteri. Tuan Puteri pula mengeluarkan serigala yang besar dan mengusir naga berkepala sembilan itu. Raja Paksi Dewa memanah ke udara dan turunlah hujan yang terlalu lebat. Tuan Puteri Ratna Sari kemudian menjelmakan dirinya sebagai burung rajawali lantas Raja Paksi Dewan ditangkap dan dipenjarakan.



Tuan Puteri Ratna Sari memerintahkan Demang Wira Jaya ke negeri Agung Sari untuk merampas segala harta dan rakyat di negeri tersebut. Segala harta rampasan itu kemudiannya dibahagikan kepada sekalian rakyat di negeri Indera Buangan.

Catatan popular daripada blog ini

PANTUN UNTUK PUAN ZAKIAH SEMPENA PERSARAAN BELIAU

Teks Ucapan Perasmian Minggu Kemanusiaan

AKU, MEREKA DAN DEKON